Rabu, November 04, 2009

Antara Tauliah & Kelayakan

Dr. Larry R. Williams seorang penulis buku 'Champions of Change' yang diterbitkan dalam tahun 1994, pernah mengungkapkan secara tersirat maksudnya, dalam menjustifikasikan seseorang itu lihatlah kepada sejarah latar belakangnya (khususnya pendidikan dan pengalaman). Sekiranya seseorang itu sudah mendapat kelayakan akademik yang baik dan cemerlang daripada sesebuah universiti berdaftar tersohor dalam bidang-bidang tertentu; ditambah pula dengan pengalamannya dalam sesuatu bidang yang dikhususkan itu maka, adalah selayaknya seseorang itu menyampaikan kembali segala yang dimilikinya kepada masyarakat tanpa sebarang keraguan dan was-was. Seseorang itu sebenarnya sudah layak dan bertauliah untuk tujuan dan maksud di atas; iaitu sharing and imparting knowledge.
  • Namun demikian, ada di antara kita (1) masih lagi keliru dan mengelirukan;(2) faham tetapi mengelirukan orang lain;(3)tidak faham walaubagaimanapun, sedaya upaya cuba memahamkan diri tanpa menimbulkan kekeliruan dan kekecohan dalam masyarakat; dan (4) faham dan sentiasa berjuang untuk memastikan seluruh masyarakat memahami. Kumpulan insan yang (1) dan (2) dalam masyarakat kita adalah virus pembunuh kepada ukhuwwah dan kerukunan masyarakat seagama malah pelbagai agama. Mereka umpama 'duri di dalam daging', 'gunting dalam lipatan' dan 'tangan-tangan ghaib yang menghancurkan'. Ini kerana orientasi akhlak dan tindakan seumpama itu memandu ke arah buta tulinya kefahaman masyarakat umum terhadap sesuatu perkara. Namun, adalah sama sekali berbeda dengan kumpulan insan yang (3) dan (4); mereka umpama 'bulan yang menerangi malam' dan 'mentari yang mencerahi siang'. Apakah maksudnya? Saya yakin sidang pembaca dengan mudah dapat menerjah maksudnya.

Dalam bidang-bidang tertentu khususnya pembinaan bangunan, jambatan, rumah, automotif, elektriksiti, aero angkasa, guaman, perubatan, kewangan, ekonomi, perbankan dan seumpamanya; adalah menjadi persetujuan umum bahawa, walaupun seseorang itu; jurutera, arkitek, doktor perubatan, akauntan, saintis dan angkasawan dan kerjaya sesaingnya, sudah bergraduasi daripada universiti tersohor dalam dan luar negara,tetapi mereka mesti mendapat pentauliahan rasmi daripada pihak autoriti dan organisasi khusus dalam bidang tersebut untuk memastikan kepercayaan dan keyakinan seluruh pengguna, pesakit dan masyarakat tidak bimbang akan perkhidmatan dan hasil perkhidmatan golongan profesional ini kelak.

  • Tidak ada sesiapa yang tegar segar menggunakan jambatan Pulau Pinang jika jururetera pembinanya yang berijazah itu tidak ditauliahkan. Tidak ada satu manusia pun yang rela berani berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan pembedahan dengannya walaupun tertera MBBS pada kadnya tetapi belum ditauliahkan dan begitulah jua sebandingnya.

Namun demikian, pada hemat saya, dalam bab-bab agama yang berkaitan dengan halal haram, tauhid dan aqidah, iman,islam dan ihsan, ilmu wahyu dan tafsiran al-quran, fiqh dan usul fiqh, usuluddin, dan sealirannya; saya mengambil prinsip think and act win win (Tabiat ke-4,oleh Dr.Steven Covey dalam bukunya The 7 Habits of Highly Effective People). Kukuhkan fakta dan kefahaman; sekiranya seseorang ustaz, ulama', mufti, pendakwah, guru dan pensyarah agama yang memang sudah dikenali peribadinya, pendidikannya, keluarganya, kelayakannya dan track record kuliah-kuliah ilmunya adalah tidak wajar untuk kita masyarakat mahupun pihak berkuasa menyekat, menghalang apatah lagi menahannya hanyalah kerana dengan alasan seseorang ahli agama itu tidak ditauliahkan terlebih dulu. Adalah amat cetek pemikiran dan kewarasan pihak berkuasa jika bertindak sedemikian. Ini kerana tanpa usul periksa menghalang mesej yang berorientasikan agama (irsyad yakni nasihat) daripada seorang pendakwah kepada masyarakat yang senantiasa dahagakan santapan rohani bagi melahirkan kesedaran hakiki sebagai hamba Illahi.

  • Namun berbedalah; 'ibarat langit dan bumi' dan 'jauh panggang dari api' jika seseorang itu yang tidak jelas latar belakangnya dan tidak maklum bagi masyarakat sekeliling akan ilmu agamanya, tetiba memperakui dirinya sebagai rasul dan nabi, pemelihara dan wakil kerajaan langit, lantaran itu menghasut masyarakat sekeliling dengan dakwaan serta ajaran yang ternyata amat dan memang bertentangan dengan al-Quran dan Hadith, maka jika inilah yang berlaku baharulah tepat untuk kita (pihak berkuasa) tanpa silu dan tuli untuk terus menghalang dan menahannya untuk siasatan. Ini kerana ternyata ia memesongkan aqidah umat Islam secara terang-terangan.

    Walaubagaimanapun, bagi memastikan stigma pemikiran masyarakat Islam khususnya tidak tercelaru dan masyarakat bukan Islam umumnya tidak memandang serong terhadap agama ini, sedari awal lagi adalah amat wajar Jabatan Perdana Menteri (yang mengawal selia Hal Ehwal Agama) mengeluarkan surat pekeliling dengan menyatakan garis panduan yang jelas untuk mewajibkan semua pengamal agama di Malaysia untuk mendapat tauliah-kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh untuk menerima jemputan dan menyampaikan kuliahdan pengajaran agama. Ia perlu jelas daripada awal. Usahlah bertindak berdasarkan 'musim' dan memilih bulu. Natijahnya masyarakat akan hilang percaya pada legitimacy pihak berkuasa. Lebih-lebih lagi bilamana ia berkaitan dengan pengajian dan pembelajaran ilmu agama. Mudah-mudahan tiada lagi insiden seumpama penguasa yang tidak bertamadun berlaku lagi dalam negara Malaysia yang tercinta ini.

    zahiri shams associates