Isnin, Ogos 24, 2009

Ada Apa Pada S & T!

S & T ataupun senyum dan tawa adalah isyarat mudah bagi seseorang menggambarkan rasa hati dan keadaannya bilamana bertemu. Senyum dan tawa yang tidak berlebihan juga dianggap sebagai sedekah jika dapat dipraktikkan. Ini adalah kerana dengan senyuman ia memberikan dua pihak keceriaan dan kebahagiaan; insan yang tersenyum dan insan yang menerima senyuman.

Namun, mutakhir ini makin ramai umat Islam khususnya dan penganut keimanan agama selain Islam amnya, nampaknya seakan-akan semakin lokek dengan senyuman. Prinsip murah senyuman pada sesetengah daripada mereka adalah hanya boleh dijual dan dibeli kepada rakan-rakan yang dikenali sahaja. Bagi yang bukan kenalan dan rakan jangan katakan dari jauh, malah sudah berlanggar bahupun masih kedekut melemparkan senyum tanda maaf.


Ini adalah penyakit dalam masyarakat yang perlu diubati segera, jika tidak ia akan menjadi barah yang sukar diubati. Senyuman yang kita ingin praktikkan di sini ialah senyuman yang lahir daripada kemurnian hati dan kesucian jiwa seseorang manusia. Senyuman yang bilamana terpandang oleh mata menarik nurani untuk membina ukhuwwah dan mahabbah kerana Allah swt. Senyuman yang terpancar kemudiannya mampu untuk berjuang ke jalan-Nya
  • Walaubagaimanapun, antara impak yang baik menerusi senyuman ini hanya mampu tercapai apabila hati dan niat kita ikhlas. Jika tidak senyuman yang terukir di bibir akan ditafsir sebagai sinis, mengajuk, menyindir, miang-miang keladi dan pelbagai tanggapan negatif hanya akibat senyum.



Justeru, senyumlah seadanya buat semua manusia agar kita tidak dilabel sebagai insan yang sombong lagi menyombong. Tidak akan kerugian berjuta ringgit hanya dengan satu senyuman yang ikhlas memperkukuh silaturrahim sesama muslims dan manusia lain;tetapi kita bisa muflis persaudaraan bilamana rakan jauh dan dekat dan manusia di luar lingkaran persahabatan kita terus-menerus menjauhi kita lantaran sifarnya senyuman dan egonya perlakuan kita.
  • Ayuh jadilah insan istiqamah dalam berperibadi ceria dan tersenyum dengan hati yang ikhlas;iaitu kena pada tempatnya. Usahlah kita jadi manusia 'moody'; semalam peramah hari ini pemarah dan sebaliknya. Bersamalah membina kasih sayang manusia selari dengan kasih sayang Allah swt. Insya-Allah selamat hidup kita dunia akhirat.

zahiri shams associates