Selasa, Mei 26, 2009

Penjajahan Kuasa Barat Di Tanah Melayu

Penaklukan Melaka oleh Portugis pada 1511 telah memulakan suatu era baru campurtangan kuasa Barat di rantau Asia Tenggara khususnya di Tanah Melayu. Menyedari bahawa rantau Asia Tenggara memiliki kekayaan, khususnya pusat pengeluaran rempah yang pada masa itu menjadi barang dagangan paling berharga, ini telah menyebabkan kuasa Barat berlumba-lumba menjelajah ke Asia Tenggara dengan tujuan untuk mendapatkan dan memonopoli perdagangan rempah, meluaskan pasaran serta pengaruh politik mereka.


PENAKLUKAN PORTUGISKE ATAS MELAKA (1511–1641)
Kejatuhan Melaka ke tangan orang Portugis pada 1511 telah menandakan berm ulanya penjajahan kuasa Barat di kepulauan Melayu. Penaklukan Melaka oleh Portugis berdasarkan kepentingan ekonomi kerana Portugis berhasrat menggunakan pelabuhan Melaka sebagai pengkalan untuk mengawal kuasa perdagangan mereka di Pulau Hindia Timur.


Di samping itu, kedatangan Portugis ke Timur adalah bertujuan untuk menghancurkan agama Islam dan mengembangkan agama Kristian serta memecahkan monopoli perdagangan yang selama ini dikuasai oleh orang Islam. Orang yang bertanggungjawab merencanakan strategi menawan Melaka ialah Alfonso d’ Albuquerque.

Bagi mencapai matlamatnya, Albuquerque telah menawan Goa di India pada 1510 untuk dijadikan markas kekuasaan dan gerakan Portugis di Timur. Pada 1509, Lopez de Sequeira telah dihantar untuk memulakan hubungan dagang dengan Melaka. Setibanya mereka di Melaka, rombongan de Sequiera telah ditahan.Walau bagaimanapun, de Sequiera berjaya melarikan diri
dan melaporkan peristiwa tersebut kepada Alfonso.Dengan alasan penahanan rombongan tersebut, Alfonso telah menghantar angkatan tenteranya untuk menyerang Melaka. Serangan ke atas Melaka telah dimulakan pada 1 Julai 1511 dan akhirnya Melaka telah berjaya ditakluki oleh Portugis pada bulan Ogos 1511.

PUNCA KEJATUHAN MELAKA KE TANGAN PORTUGIS
Antara punca utama yang telah dikenal pasti sehingga menyebabkan Melaka berjaya ditawan oleh Portugis adalah kerana berlakunya pengkhianatan dalam negeri diikuti dengan ketiadaan Bendahara yang berkaliber seperti Tun Perak, serta kekuatan angkatan tentera Portugis, khususnya pemilikan senjata moden dan strategi peperangan yang lebih teratur.

PENAKLUKAN BELANDA KE ATAS MELAKA (1641–1824)
Tekanan yang dihadapi oleh Belanda di Eropah di abad ke- 16 telah menguatkan lagi azam Belanda untuk menjadi bangsa yang merdeka, berkuasa, kuat dan berdaulat.Penindasan Sepanyol ke atas Belanda, penutupan pelabuhan Lisbon terhadap kapal Belanda dan penerbitan buku Itinerario oleh Van Linschoten yang membongkar rahsia jalan laut dan tempat yang kaya dengan hasil rempah telah mendorong orang Belanda mengembangkan pengaruh ke rantau Asia Tenggara.

Dalam usaha menyatukan kekuasaan Belanda di Timur, seluruh kapal perniagaan Belanda yang berdagang di Timur telah digabungkan dan dikenali sebagai Syarikat Hindia Timur Belanda. Di samping itu, pada 1606, Belanda telah mengikat perjanjian dengan Negeri Johor untuk membuat pakatan bagi melancarkan serangan bersama ke atas Portugis di Melaka.

Bagi mengukuhkan kedudukannya pihak Belanda telah berjaya menawan dan menubuhkan pusat pentadbiran di Betawi. Setelah kedudukannya menjadi bertambah kukuh, hasrat Belanda untuk menawan Melaka telah diteruskan. Dalam bulan Jun 1640 sehingga Januari 1641, Melaka telah dikepung oleh Belanda dengan bantuan Johor. Pengepungan yang berterusan ini telah menyebabkan kebuluran yang teruk di kalangan tentera Portugis dan akhirnya pada 16 Januari 1641, pihak Portugis telah menyerah kalah tanpa syarat dan Melaka jatuh ke tangan Belanda.

PENYERAHAN MELAKA KEPADA KUASA INGGERIS (SYARIKAT HINDIA TIMUR) PADA 1795
Menjelang berlakunya Revolusi Perancis, Britain dan Belanda telah membuat satu perjanjian persahabatan yang memberi hak kepada mana-mana negara tersebut untuk menduduki tanah jajahan sekiranya negara-negara tersebut terlibat dalam peperangan dan gagal mengawal tanah jajahan tersebut. Berikutan dengan perjanjian tersebut pihak Belanda telah membenarkan Inggeris mengambil alih tanah jajahan Belanda, setelah pihak Belanda telah dikalahkan oleh negara Perancis pada 1795. Dengan perjanjian tersebut Syarikat Hindia Timur Inggeris telah mengambil-alih tanah jajahan Belanda di Timur dan pada Belanda telah menyerahkan Melaka kepada kuasa Inggeris. Namun begitu apabila Perang Napolean telah ditamatkan pada 1815, Melaka telah dikembalikan semula ke tangan Belanda dan kedudukan ini kekal sehinggalah termeterainya perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824 yang telah menyerahkan Melaka kepada pemerintahan Inggeris.


PENYERAHAN PULAU PINANG PADA 1786
Pada 1600 pedagang Inggeris telah menubuhkan Syarikat Hindia Timur Inggeris selaras dengan hasrat untuk memperkembangkan perdagangan mereka di Timur. Pada permulaan kegiatannya, Inggeris lebih cenderung memusatkan perhatian dan kegiatan mereka di India. Kehilangan kekuasaan ke atas Amerika akibat Peperangan Kemerdekaan 1783 telah mendorong Inggeris untuk memperluaskan tanah jajahan mereka di kawasan Timur. W alaupun Syarikat Hindia Timur Inggeris telah berjaya menubuhkan loji mereka di Madras dan Benggala pada pertengahan abad ke-18 tetapi mereka sentiasa terdedah kepada serangan musuh, khususnya Perancis yang sedang mencari tapak untuk meluaskan penaklukannya di Timur. Menyedari hakikat ini, Inggeris telah berusaha untuk membangunkan sebuah pelabuhan di Timur Teluk Benggala. Ini akan membolehkan perdagangan dengan negara China dapat diteruskan. Inggeris juga cuba mengelak untuk menggunakan pelabuhan Melaka yang terletak di bawah kekuasaan Belanda.

Penggunaan pelabuhan Bangkahulu pula dianggap tidak menguntungkan kerana kedudukan pelabuhan tersebut terpisah jauh dari Selat Melaka yang merupakan laluan perdagangan utama di antara China dengan India.

FRANCIS LIGHT DAN PEMBUKAAN PULAU PINANG PADA 1786
Pada 1771, Francis Light telah mendapat tawaran daripada Sultan Kedah (Sultan Abdullah) yang membenarkan pihak Inggeris mendirikan pusat perniagaan di mana-mana kawasan di sepanjang pantai negeri Kedah dengan syarat Inggeris memberi perlindungan kepada Kedah dalam menghadapi ancaman Siam dan Bugis. Akhirnya Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Sultan Kedah telah mencapai persetujuan yang membenarkan Syarikat Hindia Timur Inggeris mendirikan penempatan di Pulau Pinang. Pulau Pinang telah dibuka dengan rasminya pada 11 Ogos 1786. Pulau Pinang telah dijadikan pelabuhan bebas pada 1788 dan menjelang 1800 suatu perjanjian telah dibuat, iaitu menyerahkan Seberang Prai kepada pihak Inggeris. Namun begitu Pulau Pinang tidak dapat membangun dengan pesat. Pulau Pinang yang mengalami kekurangan pendapatan menyebabkan timbulnya masalah kewangan.Keadaan diburukkan lagi apabila British telah menguasai Batavia pada 1811 dan seterusnya pembukaan Singapura pada 1819 telah mengakibatkan kemerosotan Pulau Pinang.

PEMBUKAAN SINGAPURA 1819
Selepas berakhirnya Perang Napoleon di Eropah, Belanda telah kembali berkuasa di Timur khususnya di Kepulauan Melayu. Selaras dengan konvensyen London pada 13 Ogos 1814, Britain bersetuju untuk memulangkan kesemua tanah jajahan mereka di Hindia Timur. Belanda juga telah kembali mengawal jalan perdagangan melalui Selat Melaka dan Selat Sunda dan keadaan ini telah menyebabkan Inggeris terpaksa mencari alternatif lain dalam mencari kawasan yang strategik bagi meneruskan perdagangannya. Bagi memastikan kepentingan perdagangan British dengan China dapat diteruskan, British memerlukan suatu penempatan baru di Kepulauan Melayu bagi melindungi perdagangannya dengan negeri China. Penempatan tersebut mestilah memenuhi keperluan tertentu antaranya;


1) Dapat menyediakan kemudahan bagi kapal British berlabuh dan meneruskan pelayaran ke India dan British;


2) Terletak di tengah-tengah jalan perdagangan bagi kepulauan Melayu. Pulau Pinang tidak begitu sesuai kerana kedudukannya jauh ke Utara manakala Bangkahulu terpaksa bersaing dengan Betawi, selain kedudukannya yang terpisah dari jalan perdagangan antarabangsa;


3) Penempatan tersebut mestilah terletak di luar pengaruh kawasan politik Belanda. Bagi menjayakan hasrat tersebut, Stamford Raffles telah mendapat kepercayaan untuk mencari penempatan baru. Dalam bulan Ogos 1818 Raffles telah mengemukakan cadangan untuk membuka pelabuhan baru di Selatan Selat Melaka. Pada Januari 1819 Raffles dan William Farguhar telah tiba di Singapura dan telah membuat keputusan untuk mengkaji kemungkinan untuk mendirikan penempatan Inggeris di pulau tersebut.

PERPECAHAN EMPAYAR JOHOR
Singapura merupakan sebahagian daripada Empayar Johor tetapi sehingga kedatangan Inggeris ke Singapura, tiada penempatan Inggeris di Singapura. Menyedari kedudukan Singapura yang strategik di samping masalah perebutan tahta antara Sultan Abdul Rahman (Sultan Johor yang sah di sisi Belanda) dengan Tengku Hussain, Raffles telah mengiktiraf Tengku Hussain sebagai Sultan Johor yang sah. Akhirnya pada 6 Januari 1819 satu perjanjian telah ditandatangani yang telah mengesahkan pendudukan Inggeris di Singapura dan juga mengiktiraf Tengku Hussain sebagai Sultan Johor. Pendudukan Inggeris di Singapura ini telah menimbulkan bantahan kepada pemerintah Belanda apatah lagi dengan kemajuan pesat Singapura telah mengancam kedudukannya daripada penguasaan perdagangan di Selat Melaka.

PERJANJIAN INGGERIS-BELANDA 1824
Selama lebih daripada 200 tahun, hubungan Inggeris- Belanda di Timur saling berm usuhan antara satu sama lain. Pembukaan Melaka oleh Raffles pada 1819 telah membangkitkan lagi kemarahan Belanda ke atas pemerintahan Inggeris.Untuk memperbaik hubungan antara kedua-dua pihak yang menjadi semakin rumit, beberapa siri rundingan telah diadakan di antara 1820 hingga 1823. Tetapi rundingan ini gagal mencari jalan penyelesaian. Sementara itu kemajuan pesat Singapura telah menyebabkan Inggeris berazam untuk mengekalkan kekuasaan ke atas Singapura. Setelah beberapa perundingan diadakan, akhirnya satu perjanjian telah dicapai dan kedua-dua pihak telah memeterai perjanjian yang dikenali juga sebagai perjanjian London. Tujuan perjanjian ini adalah untuk menamatkan pergeseran yang berterusan antara kedua-dua belah pihak demi untuk kepentingan masing-masing. Antara perkara penting yang terkandung dalam perjanjian tersebut ialah Inggeris akan kekal berkuasa ke atas Singapura, manakala Melaka diserahkan kepada Inggeris dan Bangkahulu diserahkan kepada Belanda. Dengan termeterainya perjanjian ini, pembahagian kuasa antara Inggeris dengan Belanda telah disaksikan dan kedudukan politik Inggeris dan Belanda telah dikukuhkan lagi. Perjanjian 1824 ini juga telah menamatkan sejarah Empayar Johor, apabila kekuasaannya di kawasan Riau-Lingga terletak di baw ah pengaruh Belanda. Perjanjian ini juga telah membolehkan Inggeris menguasai Pulau Pinang, Melaka dan Singapura yang juga dikenali sebagai Negeri Selat.


bersambung...
-Zahiri Shams Associates-