Sabtu lepas saya dan isteri berpeluang untuk balik ke ipoh untuk menghantar rombongan meminang adik bongsu yang tercinta iaitu Mozahirzad Hj Shamsudin. Perjalanan sesudah subuh pada hari itu sungguh tenang dan tidak sesak. Kami tiba di rumah ayahanda lebih kurang pukul 9.30 pagi. Ayahanda, kak long,angah, kak cik dan anak-anak saudara yang lain sudah sedia menanti kepulangan kami. Lepas sarapan pagi, sempatlah berehat seketika sebelum bergerak ke Taiping.
- Dalam jam 11.15pagi kami semua bergerak secara konvoi ke Taiping. Destinasi pertama ialah di rumah opah. Dari sana kami semua bersama dengan mak-mak saudara tersayang terus menuju ke Larut Tin, rumah bakal zaujah adinda Jad. Sambutan pihak perempuan memang meriah dan ceria serta ramah-tamah. Juadah dan jamuan tengahari enak-enak belaka. Syukur, pinangan pihak kami diterima baik pihak perempuan. Insya Allah adindaku Jad dan tunangnya akan diijab-kabulkan dalam tempoh enam bulan ke satu tahun. (gambar pertunangan akan dipaparkan dalam posting akan datang)
Setelah segala-galanya selesai kami pun bertolak balik semula ke Ipoh. Menjelang ahad pagi, saya dan isteri bersiap-siap untuk balik. Kami bertolak dalam jam 10.00 pagi agak awal sebab ada janji temu di Shah Alam pukul 2.00petang.Sebelum bergerak balik awal pagi Ahad tersebut saya ambil peluang untuk menziarahi pusara bonda. Anak-anak kak long memang mengharapkan kalau boleh saya lanjutkan cuti sampai Isnin. Namun sebab tugasan yang menanti esoknya terpaksa juga bergerak balik.
- Perjalanan dari Ipoh ke KL berjalan lancar menerusi highway PLUS. Bacaan ayat suci al-Quran mengiringi kami suami isteri sepanjang jalan. Juadah bekalan kak long; karipap,cucur badak dan maggi goreng menjadi hadaman. Walaupun tekak saya masih kritikal sakitnya, tapi semuanya itu tidak diambil pusing. Pemanduan diteruskan sambil isteri menyuap makanan.(inilah untungnya sudah berkahwin)
Namun, setelah melepasi susur keluar Bukit Beruntung menuju ke Rawang tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu bunyi "dam!!! ketek2 !!!!Krash....!!!" kereta 40% tak dapat dikawal..Alhamdulillah sebab sudah agak lama memandu saya dapat mengawalnya dan memandu ke arah kiri tepi lebuh raya. Alamak! tayar meletup rupanya...teruk betul. Inilah pertama kali setelah 5 tahun memandu kereta tersayang AFD 8220 ini, ia tersadai di lebuh raya dan jalan akibat tayar pecah.
- Oleh kerana ia berlaku di lebuhraya PLUS saya mohon bantuan PLUS peronda untuk membantu. Permulaan bantuan dipohon menerusi telefon PLUS di tepi jalan, malangnya ia gagal berfungsi (pihak PLUS harap ambil perhatian). Jadi saya pun menghubungi HQ Plus dengan nombor yang tertera pada tiket tol. Alhamdulillah setelah hampir satu jam lebih menunggu bantuan pun tiba.
Terima kasih saya ucapkan kepada En Shahrul dan En Ali sebab bertungkus-lumus membantu saya yang dalam kecemasan pada ketika itu. Hanya Allah sahajalah yang dapat membalas jasa kalian. Tidak sampai 10 minit tayar sudah berganti dan kami selamat meneruskan perjalanan ke Shah Alam dan seterusnya pulang ke kediaman di Damansara Damai.
- Namun apa yang menarik di sebalik kejadian ini,dapat saya simpul beberapa perkara berdasarkan kepada pesanan kenalan-kenalan lama dan guru-guru sebelum ini menerusi kata-kata mereka:
"Kalau anda mengayuh basikal (sesudah benar-benar pandai) dan belum pernah jatuh maksudnya anda masih belum pandai lagi mengayuh sebenarnya sehinggalah anda jatuh". "Jikalau anda menunggang motosikal (sesudah betul-betul pandai) dan belum pernah jatuh maksudnya anda masih belum pandai lagi menunggang sehinggalah anda jatuh". Kalau anda memandu kereta (setelah benar-benar mahir) dan belum pernah mengalami pengalaman tayar kempis, pecah, minyak habis di tepi jalan maksudnya anda masih belum mahir memandu sehinggalah perkara-perkara tersebut terjadi".
Apakah maksud tersurat dan tersirat daripada kata-kata di atas yang disuarakan oleh kenalan-kenalan dan guru-guru saya yang agak lama hidup daripada saya? tafsirannya saya serahkan pada teman-teman semua. Ada hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku. Sama ada kita tawaduk dan jujur untuk mengambil pengajaran serta memuhasabah diri ataupun ego dan sombong untuk mengambil iktibar. Tepuklah dada tanyalah iman bagi yang bertaqwa dan tepuklah dada tanyalah selera bagi yang sebaliknya.
- Sekadar itu dulu untuk coretan hari ini,insya Allah di kesempatan lain bersua lagi.
zahiri shams associates