Kejayaan dan kecemerlangan seseorang itu ditentukan sendiri sedari awalnya dengan keputusan yang tepat menerusi ruang dan peluang yang dimiliki. Manakala orang yang gagal, mereka sebenarnya keliru dan tidak berani untuk membuat keputusan yang terbaik dalam hidup. Natijahnya, alasan demi alasan diberi untuk menutup kelemahan diri. Secara bandingan,orang berjaya mencari jalan bukan alasan,demi merealisasikan impian diri; duniawi dan ukhrawi.
Adalah sangat benar, untuk berjaya kita perlu fokus dan usahakan kerja yang kita minat serta suka. Dengan meminati dan menyukai kerja yang kita usahakan itu, maka tiada timbul soal penat, malas dan merungut itu ini. Namun demikian, dalam melayari bahtera kecemerlangan dunia dan akhirat ini segalanya perlukan ilmu. Justeru mahu tidak mahu memartabatkan ilmu itu amat penting dan tiada kompromi.
Hari ini saya berpeluang berkongsi ilmu di Sekolah Sukan Negeri (SSN) Melaka. Kebanyakkan pelajarnya adalah atlit dalam pelbagai lapangan sukan yang penglibatan mereka bukan setakat daerah,negeri malah negara. Mengubah mentaliti dan stigma pemikiran sebahagian pelajar tingkatan lima ini sedikit mencabar. Memiliki anggapan untuk menjadi ahli sukan berjaya; cukup sekadar memiliki kemahiran dan teknik hebat dalam acara yang diceburi, sudah pasti boleh 'jual diri' dan berjaya,kaya-raya. Akademik kurang penting, dan adalah mustahil untuk berjaya dalam kedua-duanya dalam masa serentak.
Ini sama sekali kurang tepat. Ia benar ada sesetengah insan yang kaya raya tidak berpendidikan tinggi sampai ke universiti. Ada atlit antarabangsa mendapat pendapat lumayan jutaan ringgit tanpa miliki sekeping ijazah. Namun, dalam konteks para pelajar di Malaysia khasnya, kita mempunyai peluang untuk tingkatkan status dan nilai diri dengan berjaya dalam kedua-dua aspek tersebut; sukan dan akademik. Masih teringat pesanan Allahyarham Sudirman Hj Arshad; walaupun Allahyarham seorang artis bukan ahli sukan, tetapi pesanannya boleh ddiambil sebagai ingatan. Apabila ditanya mengapa beliau menyempurnakan juga ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) di Unuiversiti Malaya, padahal beliau berminat dalam industri hiburan? Jawabnya jika hendak menjadi artis,biarlah jadi artis yang berpelajaran dan berilmu.
Begitu juga halnya dengan para pelajar yang cukup fanatik dalam dunia kesukanan. Ia tiada salah untuk aktif dan berkecimpung dalam sukan. Namun,lebih molek kita menjadi ahli sukan negara yang hebat di gelanggang permainan, juga hebat dalam lapangan akademik. Barulah kerjaya, nilai diri dan semangat juang kita tidak mudah diperkotak-katikkan. Malaysia berbangga mempunyai Datuk Nicol David yang berjaya buktikan aktif bersukan tidak menghalang dirinya untuk berjaya dalam pelajaran. Justeru, ayuh bangun adik-adikku!!! Jadilah atlit sukan kebanggaan negara dalam kedua-dua aspek tersebut. Anda adalah yang TERBAIK, akan sentiasa TERBAIK.
Terima kasih kepada pihak sekolah khasnya, para guru kaunselor atas jemputan dan kepercayaan yang diberi. Insya-Allah usaha murni ini pasti diizin Allah swt. Doa' dan harapan para peserta kursus pada hari bakal mencapai kejayaan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini. Usahakan yang terbaik, Harapkan yang terbaik, Pasti yang terbaik!!!
zahiri shams associates