Selasa, September 01, 2009

Syurga Cinta

Bagi setiap insan yang berhubungan (lelaki dan perempuan), perkahwinan dan jodoh mereka itu ada tiga : i) Jodoh daripada syaitan, ii) Jodoh daripada jin dan iii) Jodoh daripada Allah.

i) Jodoh daripada syaitan: Lelaki dan perempuan yang berhubungan (couples) dengan pengetahuan atau tanpa pengetahuan ibu bapa dan akhirnya terlanjur (perempuannya mengandung), maka dengan itu mereka berkahwin dan diijab kabulkan; jodoh seumpana inilah yang digelar jodoh daripada syaitan. Ini kerana perhubungan bukan muhrim antara keduanya tidak dibatasi oleh syariah. Natijahnya yang ketiga antara dua laki-laki dan perempuan adalah syaitan yang sesat dan sentiasa menyesatkan umat Muhammad saw yang lalai.


ii) Jodoh daripada jin: Seorang lelaki yang mendambakan kasih dan cinta seorang wanita yang tidak menerima pelawaan cintanya; lantaran dengan itu sang lelaki menggunakan sihir (bantuan makhluk halus) untuk membeli juga cinta yang ditolak,lalu dengan izin Allah swt maka, jadi; wanita dan lelaki ini berkahwin. Jodoh seumpama ini dilabel sebagai jodoh daripada jin. Wanita menerima sang lelaki bukan kerana ikhlas dan redha menyintai tetapi, tidak rela dan dipaksa menyintai akibat sihir dan guna-guna.


iii) Jodoh daripada ALLAH: Seorang lelaki dan perempuan saling berpandangan antara satu sama lain daripada jauh. Pandangan itu lalu jatuh ke hati dengan izin Allah. Tanpa mendepani batasan dan syariat, lelaki mulia ini pergi berjumpa keluarga perempuan bersama keluarganya; dirisiknya, dipinangnya dan akhir dinikahinya perempuan tersebut secara beradad, beradat dan bersyariat. Mereka berdua akan dirahmati Allah dan para Malaikat serta sentiasa dilindungi-Nya. Pertemuan dan pernikahan seumpama inilah yang disebut sebagai syurga cinta.

Demikianlah mesej dakwah yang telah disampaikan oleh Pengarah filem muda tersohor negara saudara Ahmad Idham dalam filem box office nya pada tahun ini iaitu Syurga Cinta. Tatkala, terdengar skrip ini dilontarkan atuk Shuhada lakonan Hisham Ahmad Tajuddin, gugurlah segala ego, runtuhlah segala angkuh, leburlah segala nafsu amarrah dan sekali terdetik di hati adakah jodohku sebelum ini dikategori ketiga atau sebaliknya.

Alhamdulillah setelah bermuhasabah diri dan didampingi isteri tercinta ku amat yakin jodohku bersama isteri adalah yang ditentukan Nya,dirancang Nya dan ditetap oleh Nya.

Teman-teman yang dikasihi, sama ada anda sudah atau belum berumah tangga, cermin-cerminlah diri kita, berdoalah selalu,moga-moga jodoh yang kita temui bersama suami dan isteri kita adalah yang terbaik daripada Allah swt, demi menyambung zuriat dan keturunan Nabi Muhammad saw. Semoga kita bersama peroleh SYURGA CINTA.


Salam Syurga Cinta!


zahiri shams associates